Untuk menulis sesebuah cerita bukan mudah, lebih-lebih lagi kalau cerita yang kita buat tu adalah cerita telah berlaku.
Tak perlu kita tulis sebijik-sebijon jalan cerita dia. Yang penting kita ingat apa yang dibualkan. Jalan cerita yang mudah faham.
Ditambah pula dengan sedikit joke. Kadang-kadang kita cerita tentang benda serius pun akan dianggap joke oleh sesetengah orang.
Isinya tak penting sangat. Sebab isinya pelbagai. Penutup dia yang paling penting sebenarnya.
Penutup yang bakal menentukan hala tuju isi perbualan tersebut sama ada boleh di bawa ke tengah atau tak,
pecah perut, menyirap, tangan naik atau rasa nak gelak ke tak nak. Kadang-kadang penutup ni yang
boleh tentukan seseorang tu lambat siang ke tak. Perbualan tanpa penutup ibarat pohon yang tidak berbuah.
Sama seperti isi, penutup juga memerlukan pertimbangan dari sudut masa, tempat, hati dan juga perasaan.
Sama ada masuk ke tak benda yang kita bualkan tu. Disinilah kebijaksanaan akal manusia diperlukan dalam
bertolak ansur dengan keadaan sekeliling. Silap berbual, kadang-kadang tu boleh sampai ke tahap balik ke rumah
selsema sambil mata lebam-lebam. Belum kira kes sentap berbulan-bulan. Ada kes yang balik rumah sampai mengigau-ngigau pasal benda yang dibualkan.
Dalam mempertimbangkan apa yang bakal kita cakapkan, keadaan sekeliling sikitpun tak boleh di ambil mudah.
Contohnya seperti ada satu tengahari tu, aku dah lewat untuk ambil anak aku dari check up.
Habis checkup sepatutnya dalam pukul 10 pagi,
pukul 12 suku aku masih terhegeh-hegeh gosok gigi dekat rumah. Celaka betul. Ini semua berpunca dari penggera
telefon bimbit yang tidak berfungsi. Benda ni bukan baru sekali jadi macam ni, tapi dah berpuluh kali. Kadang-kadang
sampai tahap menyirap tu rasa macam nak beli iPhone 4s je. Tapi memandangkan gaji bulanan aku bukan 8 ribu sebulan,
aku terpaksa pendam perasaan tu jauh di lubuk hati.
Dalam pada aku bersiap tu, rumah tumpangan yang aku menginap didatangi oleh seseorang.
Terganggu sekejap pemakaian seluar aku bila terdengar pintu grill rumah tumpanganku bergegar bagai nak kiamat.
Potong stim betul. Dalam perasaan nak tak nak, aku terpaksa juga membuka pintu rumah.
Terpacul muka seorang pemuda yang menjadi kenalan aku.
Lebih selesa jika aku panggil pemuda tersebut sebagai bro.
Sekilas pandang, bro ni kelihatan agak trendy. Tapi peduli apa aku dia trendy ke tak, aku dah lambat nak anak dengan wife aku waktu tu.
Aku membiarkan bro tersebut keseorangan di ruang tamu sambil aku kembali menyambung persiapan untuk bersiap.
Dah siap aku berpakaian, aku pun bergerak ke ruang tamu kembali. Kini, hanya tinggal stokin
dan kasut je yang belum tersemat kemas pada anggota badan aku.
Bro yang aku tinggalkan keseorangan di ruang tamu tersebut memerhatikan gerak geri aku dengan senyap.
Rasa janggal pun ada bila sarung stokin, ada lelaki tengah usha.
Tiba masa untuk aku mencapai kunci kereta, bro tersebut tiba-tiba bersuara.
“Bro, tengok MotoGP semalam?” tanya bro tu kepada aku.
“Tak tengoklah, semalam aku kerja, bro.” jawab aku ringkas. Bersahut-sahutan panggilan bro ketika itu.
“Semalam ada sorang rider mati, bro. First time kat Sepang ada orang mati.” kata bro tersebut lagi.
“Alamaaak!” kata aku dalam hati. Waktu waktu macam tu lah dia boleh rajin ajak berborak.
Nak tak nak aku terpaksa layan. Tak sedap pulak rasanya kalau tiba-tiba keluar rumah sambil hempas pintu kuat-kuat.
“Itu laa, aku ada baca dekat paper pagi tadi.” balas aku sambil berlegar-legar di ruang tamu memegang kunci kereta.
“Aku pergi tengok semalam, bro. Mamat tu entah macam mana nampak macam off kejap.
Dah habis corner pun dia boleh senget badan lagi.. bla bla bla bla bla.. Rossi sikit lagi nak jatuh waktu tu.”
jelas bro tu panjang lebar. Aku ye ke, ye ke beberapa kali.
Makin lama, boraknya makin panjang. Kunci yang aku pegang tu mula rasa macam nak cucuk dekat muka bro tu.
Ini tak boleh jadi, aku terpaksa jugak nak kena matikan perbualan tu waktu tu jugak memandangkan
jam dah dekat pukul 1 setengah.
“Peliklah, bro. Macam mana dia boleh tak bangun balik lepas corner tu.” sambung bro tu lagi.
“Ahhhh, diorang tu nak kena belajar lagi bawak motor tu. Baru setahun jagung, dah nak main trek, mana boleh!”
jawab aku dengan nada agak keras.
Terkebil-kebil bro tu pandang aku.
Aku pun apa lagi, berambuslah. Ingat Rossi ke yang bayar gaji aku bulan-bulan?
***
“Dalam berbual ni, kalau rasa tak masuk, baik blah je.” - Amir Otai, 2009