Selaku jejaka hensem berumur 4 tahun, tempat lepak saya setiap hari lebih menjurus ke rumah Anuar Capang.
Ini berdasarkan dengan alasan rumah Anuar adalah rumah kedai, Senang sikit saya nak beli barang saya ketika itu.
Ini juga kerana, kedai Tong Seng pun belum muncul tempat yang top untuk dilepak.
Tapi, apa jadah saya nak lepak Tong Seng di kala umur begitu?
Main dekat padang pakai seluar pendek pun boleh kena tungau, ada hati nak lepak Pekan Pendang.
Kehidupan sehari hari saya di rumah Anuar hanyalah bermain dari pagi sampai petang.
Balik makan tengahari pula diabaikan begitu sahaja.
Tunggu kena kejar dengan mak dulu, baru kelam kabut nak balik makan.
Itu pun makan ala kadar letak nasi, telur goreng dengan kicap 2-3 suap, lepas tu terus pecut pergi rumah Anuar kembali.
Rumah Anuar memang menjadi sarang untuk saya menghabiskan masa kanak kanak saya.
Anuar ni kalau nak diikutkan orang pertama saya kenal waktu mula-mula pindah Pendang dulu.
Abah saya dan abah Anuar takdelah berkawan baik sangat.
Macam macam benda yang saya buat dekat rumah Anuar, bukan setakat bermain sahaja.
Di sinilah saya belajar bawak basikal tayar mati kayuh 6 kali jatuh,
dan di sini jugalah tempat saya belajar menghisap rokok Dunhill.
Beli kotak 7 dekat kedai Anuar. Anuar yang jual dekat saya.
Yang paling saya ingat sampai sekarang ialah saya belajar membaca juga di
rumah Anuar dengan menggunakan majalah Gila Gila dan Gelagat.
Pada awalnya, saya hanya duduk di tepi dengan Anuar sewaktu mendengar Abang Din
mengkisahkan kepada kami jalan cerita kartun dalam majalah tersebut.
Entah macam mana, saya tiba tiba dah boleh membaca.
Mungkin kerana minda saya hampir serupa dengan Albert Einstein.
Menari nari Mak saya bila dapat tahu saya dah pandai membaca.
Rumah Anuar juga menjadi seperti taman permainan kepada saya
memandangkan mak saya tak bagi saya main jauh jauh waktu itu.
Dari bermain kapal terbang kertas pakai buku tulis Kak Shima
sampai menjeri jerit dia marahkan kami, ke bermain ping pong pukul bola ke atas,
ke galah panjang, ke gasing, ke baling selipar,
ke guli dan sehinggalah menonton cerita Gaban dan Suria Perkasa Hitam.
Terbang terbang saya dengan Anuar bila tengok 2 cerita ni.
“Tendangan padu mauttt!” kata Anuar sambil buat gaya tendang.
“Perisai Gabannnn!” balas saya dengan tangan bergaya menghalang.
“Ala, kau tak payah lah jadi Gaban” bentak Anuar.
“Habis tu, kau dah jadi Suria Perkasa Hitam, aku lah jadi Gaban” hujah saya penuh terperinci.
“Kau jadilah raksasa.” arah Anuar kepada saya.
“Ah, jangan harap!” tegas saya petang itu.
Kami kelahi. Siap tarik tarik rambut. Esoknya, sehari saya duduk rumah layan lagu Cinta Pantai Merdeka.
P/S : lama tak dengar kabar Anuar. Las dulu saya dapat tau bapa dia kawin 2.
No comments:
Post a Comment