Bila tiba musim peperiksaan. Teringat saya pada zaman saya belajar di Kolej dolu-dolu.
Pukul 4 pagi saya dah bangun dari tidur. Memang saya dah set kepala untuk bangun pada waktu macam tu.
Waktu yang paling ngam untuk mengulangkaji. Andaikata saya berjaya dalam ujian ni, cita-cita saya untuk menjadi juruterbang memang tak mustahil.
Eddy, sepupu saya masih lagi tidur sambil memegang nota yang dibacanya semalam. Baca ke tidur?
Balik dari kuliah hari jumaat malam tu, lepas mandi saya terus tidur. Hari dan minggu sebelum-sebelum tu,
sepatah haram perkataan mengulangkaji tak terlintas dalam benak fikiran saya. Jadi,
saya hanya mempunyai masa selama 3 jam untuk belek-belek apa yang patut.
Ujian ditetapkan pada pukul 8.00 pagi. Orang cakap, belajar last minute ni senang masuk.
Saya buka buku dalam 10 minit. Saya tutup kembali buku. Saya layan komik One Peace.
'Luffy' seolah-olah memangil nama saya untuk menjadi Lanun. Ujian belakang kira.
Jam dah tunjuk pukul 6.30 pagi, baru saya buka buku balik. Pada ketika itu, saya cuma fokus untuk menghafal beberapa format jawapan yang dikehendaki.
Dah setel part tu, saya mencapai tuala dan kelam kabut masuk bilik air untuk mandi.
Seperti yang anda sedia maklum, mandi pagi memang satu perkara yang amat melecehkan bagi saya.
Kecebar kecebur 2-3 kali, saya terus keluar dari bilik air. Eddy, saya lihat tengah sibuk baca nota di tangannya.
Pakaian yang dipilih untuk mengambil ujian, amatlah simple. Jeans dan t-shirt.
Malas saya selongkar almari cari baju melayu moden saya.
Entah ada, entah tidak baju tu lagi. Kalau ada pun, kompem bau almari.
Nak pakai kemeja pula, saya dah muak. Setelah merapikan diri dan menyikat kemas rambut ala pegawai kerajaan,
saya menuju ke meja makan untuk menuang air teh o panas buatan tangan mak tok saya.
Cawan yang berisi penuh air teh itu, Eddy bawa keluar menuju ke motorsikal untuk memanaskan enjin.
Lagak seperti orang besar. Rokok pembuka kata tersemat di bibir mulut. Pung pang pung pang asap keluar.
Sambil tengok orang lalu lalang di hadapan rumah, kami menyarung stokin dan kasut.
Tiba-tiba, Eddy teringat mengenai alat tulis. Kucar kacir saya dan dia masuk dalam rumah untuk capai apa yang patut.
Kasut memang tak sempat dibuka. Terdengar bebelan kecil Tok wan. Tapi saya tak hiraukan.
Saya lebih berminat untuk mencari alat tulis. Kalau tak ada alat tulis, saya nak jawab ujian pakai apa? Pakai air liur?
Dengan pantas, saya menggerakkan motorsikal menuju ke kedai. Niat saya untuk membeli pensil 2B dan pemadam.
Benda paling asas dalam peperiksaan. Sambil beli tu, sempat juga saya usha tajuk berita muka hadapan.
Kebanyakannya, cerita mengarut. Malas saya nak beli. Saya lebih berminat untuk menjawab peperiksaan.
Honda Petak kami meluncur gagah di jalanraya. Jujurnya, saya sendiri tidak tahu di mana tempat ujian itu berlangsung.
Mujur, malam sebelum itu saya sempat mesej Luncai. Rasanya dekat dewan.
Saya sampai ke tempat ujian dalam pukul 7.40 pagi. Tanpa membuang masa, saya terus meluru ke dewan peperiksaan.
Ada lebih kurang 60 orang yang mengambil ujian yang sama dengan saya. Hampir semua muka budak baru kenal dunia.
Ada juga saya perhatikan dalam 3 orang yang usia mereka lebih tua dari saya. Terasa sungguh yang saya dah berusia.
Saya terus buat muka pegawai peperiksaan. Pada ketika itu, kami masih tidak dibenarkan masuk ke dewan.
Kesempatan itu, saya ambil untuk mengingat kembali beberapa formula saintifik yang saya belajar sewaktu di bangku persekolahan.
Prinsip keapungan Archimedes, pusaran angin, pai j theta dan e sama dengan emsi kuasa dua berlegar-legar di dalam kepala saya.
Saya jeling orang lain, masing masing sibuk dengan kalkulator. Saya memang tak ada langsung niat nak bawa benda alah tu.
Jikalau ada perkiraan rumit sewaktu di dalam ujian, saya cenderung untuk congak guna jari sahaja.
Saya berpegang kuat kepada prinsip yang matematik saya tidak sebarai Amir Otai.
Suruh baca sifir 4 pun gagap. Itu pun ada hati nak suruh saya panggil dia 'Amir Sifir'.
No comments:
Post a Comment