Assalamualaikum & Salam 5Malaysia,
Dalam ura-ura kerajaan mencanangkan projek mega sana sini dalam bajet 2011, saya masih di sini mencari-cari hala tuju untuk makan nasi secara berjadual. Berjadual maksud saya disini ialah bila lapar je dapat makan nasi. Tak ada ke hulu ke hilir buat muka bengis. Banyak faktor yang menjadi penghalang kepada usaha saya tersebut. Almaklumlah, golongan kebanyakan seperti saya tidak dapat tidak untuk merasai kesempitan wang di penghujung setiap bulan. Lagi-lagi bila saya lapar sangat sangat dan berlari ke pantri pejabat, hanya tin biskut yang mewarnai keadaan ketika itu. Biskut-biskut hilang entah ke mana. Sikit kesian pun tak ada pada saya.
Ada satu ketika, bila lapar dah tahap cipan, saya cuba-cuba juga gagahkan diri berjalan ke restoran berhampiran dengan pejabat walaupun secara realitinya dalam dompet saya hanya ada seringgit. Pemikiran sewaktu lapar tersangatlah kritis. Berbagai idea untuk makan nasi esok baru bayar muncul dengan tiba-tiba. Antara taktik yang biasa saya guna ialah dengan mengorder dulu dan makan sampai habis, bila nak bayar buat-buat panik duit tak cucuk lagi. Hahaha. Kadar kejayaan idea saya ni setakat ini ialah 100% berjaya memandangkan kabel saya dengan restoran mamak tu agak kuat. Faktor bermuka baik dan senyum yang boleh buat orang percaya juga menyumbang kepada kejayaan tersebut. Tak sia-sia saya potong rambut kemas awal bulan hari tu.
Ok, kita lupakan sekejap isu lapar dan nasi. Sekarang kita tumpukan perhatian kepada isu kehidupan saya sehari-hari kebelakangan ni. Saya akui yang saya memang jarang mengemaskini blog dalam sebulan ke dua bulan yang lepas. Banyak aktiviti lain yang perlu saya buat. Ini termasuk projek gergasi dan garuda saya yang dijangkakan habis pertengahan bulan depan. Bukan saya langsung tidak menulis, cuma beberapa penulisan saya kebelakangan ni banyak mencarut dan memaki hamun orang. Tak sampai hati saya nak memuatnaik dalam blog ni. Banyak penulisan saya menjurus ke arah pemakian kepada bangsa sendiri. Dahsyat sungguh. Tak kena langsung dengan perangai saya. Daripada saya terus-terusan memukimakkan orang lain, baik saya buat-buat rilek je. Saya nak naik angin lebih-lebih pun tak guna sebenarnya sebab bukan boleh bagi saya kenyang pun bila lapar. Balik-balik saya cari nasi juga.
Projek gergasi dan garuda ni memang banyak bagi saya tendang kerusi. Mood saya sentiasa berubah dari lima minit ke lima minit yang akan datang. Kejap gembira, kejap lagi tu garang. Kejap borak macam biasa, kejap lagi tu diam ketap bibir tanda geram. Kejap rasa nak makan nasi, kejap lagi tu rasa macam nak lempang orang. Tapi, disebalik segala perkara yang menyakitkan otak tersebut, banyak benda baru yang saya dapat belajar. Pernah sekali saya hampir berputus asa terhadap projek tersebut akibat dari tak tahan sangat keluar pagi balik pun pagi dicampur dengan kekusutan otak yang astaghfirullahhal'azim dan perasaan simpati kepada rakyat yang hanya makan roti canai dua hari dua malam, sikit nasi pun tak masuk mulut, namun saya tetap berfikiran positif untuk cuba berusaha untuk menamatkan projek ni. Bagi saya, ini semua pengalaman mencabar yang harus saya harungi sebagai seorang lelaki dewasa yang tak lama lagi mungkin akan menjadi menteri. Cheeyyy!
Dalam kesibukan tersebut, terdapat juga ruang masa untuk saya dari tidak terlepas pandang berkenaan dengan isu harga rokok naik ke sekotak sepuluh ringgit. Setan. Ini lagi satu isu yang tak boleh dibawa bergurau. Belum reda lagi isu pembunuhan sampai tahap saya pergi beraya sikit-sikit orang borak pasal Sosilawati, tiba-tiba kesabaran rakyat Malaysia tercabar sekali lagi dengan kenaikan harga rokok. Kerajaan mula menunjukkan kezaliman dengan menindas rakyat tak tentu hala. Takkan kerajaan tak tahu yang majoriti perokok dalam negara ni pemalas nak bersenam dan lepas makan nasi mesti nak kena hisap rokok? Nasi tu pun kalau makan banyak-banyak bukan baik untuk kesihatan. Andai betul kerajaan menaikkan harga untuk mengelak rakyat dari membeli rokok dan mengejar status negara sihat, naikkanlah sekali harga nasi. Dimanakah keadilan? Apasal Anwar tak mainkan isu ni di Parlimen?
Beberapa hari yang lepas, saya ada mengukur berat badan saya di Tesco, Taman Midah. Berita tak berapa baik. BMI lari jauh dari sebelum ni. Macam biasa, saya salahkan alat timbang. Yang panik bukan saya, tapi Wanaz As yang duduk di kerusi sebelah sewaktu saya memandu. Hal ni pun saya rasa banyak berkait rapat dengan nasi.
Makan salah, tak makan pun salah.
No comments:
Post a Comment