Saya suka membeli lauk di kedai Mak Limah. Kadang-kadang tu lepak minum. Saya pergi melepak pun sebab boring duduk di rumah.
Ingatkan nak melepak dengan kawan-kawan yang lain, tapi batang hidung masing-masing langsung tak nampak.
Ada yang pergi memancing. Pergi mengaji pun ada. Tak kurang juga yang layan Zynga Poker sampai pukul 5 pagi.
Belum dikira kawan-kawan yang main Farmville.
Ok. Yang ada dekat Mak Limah hanya Wan Sop dan Ika anak Mak Limah umur 5 tahun. Mereka duduk di dua meja yang berlainan.
Macam biasa, selepas memesan air neskafe o ais, saya terus pergi duduk semeja dengan Wan Sop.
Tak molek pula saya rasa jika datang-datang terus redah lepak semeja dengan anak tuan kedai. Apa pula orang cakap nanti.
Nampak macam nak makan percuma pula. Wan Sop pula waktu tu sedang menikmati hidangan tengahari berupa nasi berlaukkan ayam goreng
dan sayur entah apa benda namanya pun saya tak tahu. Sayur tu warna hijau gelap. Jangan harap saya nak makan benda tu.
Beliau juga turut khusyuk menonton satu cerita hantu di kaca televisyen yang pada pandangan saya
tak cukup seram memandangkan cerita tersebut dimainkan di waktu tengahari.
"Cerita khurafat apa ni, Sop?" tanya saya sebagai pembuka bicara.
"Cerita pasal pontianak. Entah macam mana entah cerita ni. Budak tu ada pakai rantai, tapi lelaki tu (Ashraf Sinclair) nak sangat rantai tu.
Rantai tu kira macam berpuakalah." jawab Wan Sop panjang lebar acuh tak acuh.
Dua suap nasi masuk ke dalam mulut beliau kemudiannya.
"Owh. Tu rantai basikal lelaki tu. Lelaki tu nak pergi kerja, tapi basikal dia tak boleh jalan. Tu yang dia nak sangat rantai tu."
kata saya bergurau sambil memberi senyuman paling manis kepada Wan Sop.
Wan Sop diam seribu bahasa. Tidak senyum, tidak ketawa. Matanya tepat memandang ke arah nasi di atas meja.
Mulutnya turut rancak mengunyah. Gurauan saya tidak mendapat sebarang respon. Mungkin beliau tiada selera untuk bergurau dengan saya.
Saya turut diam.
"Owh. Macam tu rupanya. Habis tu, macam mana dia nak pergi kerja?" tanya Wan Sop kembali selepas habis mengunyah. Muka beliau sumpah serius.
Saya terus pergi bayar air yang saya minum tadi.
No comments:
Post a Comment